[VIDEO] 'Pas Kluang ada bantu kempen PRK Mahkota' - Calon PN

KLUANG - Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar menafikan dakwaan bahawa jentera Pas Kluang tidak membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurutnya, gerakan kempen mendapat kerjasama padu di setiap peringkat daerah, negeri dan pusat.

**media[2812586]**

"Ada dia (Pas Kluang) bantu, siapa cakap tak ada bantu? Pas Kluang, daerah, negeri, Pas pusat pun ada.

"Tadi saya jumpa Pas Terengganu. Siapa cakap tak bantu? Pas bersama Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) sama-sama bantu membantu.

"Kalau cakap tak bantu (kempen) tu bohong," katanya kepada pemberita ketika melawat gelanggang futsal terbiar di Taman Sri Kluang di sini pada Rabu.

Beliau menjawab desas-desus jentera Pas Kluang enggan turun berkempen berikutan berlakunya perselisihan antara Bersatu dan Pas.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu iaitu calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dengan calon Mohamad Haizan dari Bersatu.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.